Sunday 10 July 2011

proposal tesis sejarah

ASRAMA ANAK-ANAK YATIM DAMAI KUANG: SEJARAH PENUBUHAN DAN PENGURUSAN (1989-2010)
1.0  PENDAHULUAN
Anak yatim semakin bertambah dari hari ke hari. Menurut Peyatim, jumlah terkini anak yatim seluruh Malaysia, dianggarkan lebih kurang 300, 000 orang. Hal ini bukan sahaja kerana kematian orang tuanya bahkan berpunca daripada pembunuhan dan peperangan. Agama Islam mengambil berat tentang nasib anak-anak yatim yang hidupnya tanpa mendapat kasih sayang dari orang tua. Perhatiannya bukan sahaja keperluan hidup sahaja malah berhubung dengan masa hadapan di akhirat. Menurut agama Islam, Allah memerintahkan hamba-hambanya untuk melakukan pelbagai aktiviti memelihara anak-anak yatim dari segi rohani dan keperluan jasmani. Pengorbanan masa, diri dan harta yang dikorbankan kepada anak-anak yatim, akan diganjari oleh Allah di dunia dan di akhirat. Sebahagian ahli ahli bahasa Arab memberikan definisi bahawa anak yatim adalah anak yang bapanya sudah meninggal dunia.[1] Ada juga ulama bersependapat bahawa anak yatim ialah anak tidak mencapai usia baligh.
            Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang merupakan sebuah rumah badan kebajikan swasta yang mengambil berat tentang penjagaan anak yatim yang memerlukan kasih sayang. Oleh itu, asrama ini terdapat kakitangan yang menempatkan ibu-ibu tunggal untuk membantu anak-anak yatim mendapat penjagaan yang rapi. Penulis berminat mengkaji sejarah asrama ini kerana sejarahnya berkaitan dengan seorang lelaki yang berjiwa penyayang terhadap anak-anak yatim dan asrama ini dapat bertahan selama 21 tahun penubuhannya. Selain itu, penulis berminat mengkaji mengenai pengurusan terhadap anak-anak yatim yang terdapat di asrama ini.
            Kajian yang dibuat, penulis dapat mengkaji bagaimana cara penjagaan yang sempurna terhadap sebuah asrama anak-anak yatim mengikut aspek agama Islam dan psikologi dari tahun awal penubuhan asrama sehingga tahun 2010.
2.0 SKOP KAJIAN
Skop kajian adalah menjurus kepada sejarah dan pengurusan rumah Asrama Anak-anak  Yatim Damai Kuang dengan melihat perkembanganya dari tahun  1989-2010. Walaupun kajian ini hanya menyentuh bingkai masa 21 tahun tetapi garis masa ini menunjukkan pengukuhan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang. Hal ini secara tidak langsung akan menyentuh sejarah penubuhan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang yang mula ditubuhkan pada tahun 1989 sehinggalah 2010. Pengukuhan kajian mengenai sejarah penubuhan asrama ini, kajian ini akan melihat kepada pengasas asrama ini iaitu Tuan Haji Suhaimi Bin Dzajul dan penduduk kampung Kuang.
            Di samping itu juga, untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang, kajian ini juga akan melihat tentang pengurusan penjagaan anak-anak yatim yang menginap di asrama ini.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Penulisan ini merupakan usaha memperkenalkan sejarah penubuhan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang dan pengurusan penjagaan anak-anak yatim di asrama dalam bentuk kajian yang ilmiah dan sistematik.




4.0 TUJUAN KAJIAN
Tujuan penulisan latihan illmiah ini ialah untuk;
  1. Mengkaji latar belakang sejarah perkembangan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang, Selangor dari peringkat penubuhan sehinggalah ke tahun 2010.
  2. Mengupas secara ilmiah setiap elemen yang terdapat dalam permasalahan anak-anak yatim di Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
  3. Meneliti kepentingan penjagaan anak-anak yatim di Asrama Anak-anak Yatim Kuang.
  4. Memperkenalkan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang kepada umum melalui satu usaha ilmiah
  5. Melihat bagaimana Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang ini dapat menjamin masa hadapan mereka selepas keluar dari asrama.
  6. Mengkaji pengurusan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.





5.0 ULASAN KAJIAN TERDAHULU
Sebelum kajian khusus mengenai Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang di jalankan oleh penulis, tiada usaha penulisan dalam bentuk ilmiah yang mengfokuskan kepada penubuhan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang kecuali sebuah penulisan buku autobiografi yang di tulis oleh Wan Mokhtar Ahmad yang mengisahkan secara ringkas pembinaan rumah anak yatim di Terengganu.
            Di dalam penulisan ilmiah, penulisan ini merupakan pertama kali di lakukan dan sebelum ini hanya penulisan mengenai pentingnya penjagaan anak-anak yatim seperti yang di tulis oleh Muhsin M.K yang menulis buku Mari mencintai anak yatim. Di dalam penulisan beliau, skop penulisan sejarah penubuhan asrama asuhan anak-anak yatim tidak dikemukan. Hanya ditekankan kelebihan-kelebihan menjaga dan memelihara anak yatim menurut pandangan agama Islam. Penulisan ini mengupas dengan terperinci mengenai hak-hak muslim dalam penjagaan dan kebertanggungjawaban terhadap anak-anak yatim yang perlu dititik beratkan. Selain itu, penulis juga memberikan dalil-dalil al- Quran dan hadis mengenai pentingnya dalam penjagaan anak-anak yatim dan harta anak yatim[2] di dalam penulisannya.
            Penulisan ilmiah oleh Sayyid Quthb di dalam bukunya yang bertajuk Tafsir Fi Zhilalil Qur’an jilid 2merupakan satu lagi penulisan yang menerangkan dalil al- Quran iaitu  surah Al-Imran –surah An-Nisaa’70 yang merupakan satu lagi usaha bersifat ilmiah berkaitan dalil al-Quran yang mementingkan tata cara memelihara harta anak yatim, sistem kewarisan dan kasih sayang kepada anak-anak yatim yang lemah.[3] Persoalan yang diutarakan di dalam buku ini ialah bagaimana untuk menjaga anak-anak yatim mengikut kehendak Allah SWT.
            Imam Adz-Dzhabi pula menghasilkan karya bukunya Dosa-dosa besar merupakan satu lagi penulisan yang berkaitan dengan dalil-dalil dan kisah-kisah Sahabat R.hum. yang berkaitan kisah memakan harta anak yatim dan menzaliminya.[4] Hukuman terhadap pesalah telah dipersoalkan di dalam buku ini mengenai dosa-dosa yang dilakukan oleh pesalah yang menganiyai anak-anak yatim.
            Selain itu, penulisan ilmiah yang berkaitan dengan pengurusan rumah anak yatim iaitu penulisan Habib Syarief Muhammad Alaydrus di dalam karyanya Agar hidup selalu berkah: meraih ketenteraman hati dengan hidup penuh berkah. Di dalam karyanya ini bagaimana untuk mendapatkan keberkatan dalam kehidupan seseorang muslim. Penulis karya ini menceritakan rumah yang mengurusi anak yatim dengan baik.[5] Kaedah dan cara yang betul dalam Islam telah diceritakan oleh penulis di dalam penelitian ilmiah beliau.
            Elizabeth B. Hurclock pula menulis mengenai Perkembangan anak. Perkembangan anak merupakan aspek penting untuk menjaga emosi anak-anak, terutamanya anak-anak yatim yang memerlukan penjagaan yang lebih lagi. Di dalam penulisan buku ini, penulis bertujuan untuk mengajar atau alat belajar yang lebih baik dan menarik untuk pendidikan anak-anak. Anak-anak yatim yang mengharapkan penjagaan dan pemerhatian kasih sayang sangat diutamakan mengikut perkembangannya dari segi emosi, fizikal komunikasi dan sosial. Cara berkomunikasi terhadap perkembangan anak yang sesuai[6] telah dibicarakan di dalam buku ini. Ini bersesuaian bagaimana untuk menguruskan anak yatim yang pendiam dan digalakkan berkomunikasi.















6.0 HIPOTESIS
Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang memiliki sejarah penubuhan yang amat menarik untuk diperdengarkan oleh masyarakat. Pengasas asrama ini mempunyai keperibadian yang tersendiri dan mempunyai keazaman yang tinggi terhadap hak penjagaan anak-anak yatim untuk menjamin masa hadapan mereka. Organisasi pentadbiran, sistem keewangan, pembangunan infrastruktur dan pengurusan rekod merupakan pengurusan yang amat penting dalam penjagaan anak-anak yatim Damai Kuang.

7.0 PEMASALAHAN KAJIAN
Masalah anak-anak yatim terbiar telah menarik minat penulis untuk mengkaji bagaimana sesebuah institusi penjagaan anak-anak yatim dapat mengekalkan pengurusan dan berdiri kukuh untuk jaminan masa hadapan anak-anak yatim. Persoalan ini menjadi satu kenyataan untuk mengetahui lebih mendalam lagi mengenai Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang sejak 20 tahun yang lalu lagi. Dalam penjagaan anak-anak yatim pelbagai masalah yang akan di hadapi untuk membesarkan mereka. Persoalan ini juga telah menarik minat penulis untuk mengetahui sejauhmanakah Tuan Haji Suhaimi Bin Dzajuli menguruskan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang untuk menjamin masa hadapan anak-anak yatim. Pengurusan pentadbiran yang baik merupakan elemen yang penting bagi sesebuah pati asuhan anak-anak yatim untuk menjamin anak-anak yatim diberikan penuh kasih sayang dan dapat menjamin masa hadapan anak-anak yatim selepas keluar dari asrama nanti.

8.0 KAEDAH PENULISAN
Kaedah penulisan dalam kajian ini terbahagi kepada dua iaitu berbentuk deskriptif dan naratif. Sementara itu, kaedah penyelidikan yang digunakan dalam menghasilkan latihan ilmiah ini menjurus kepada kualitatif. Kaedah kualitatif merupakan suatu kaedah yang memberatkan usaha untuk mencari dan memberikan keterangan, interprestasi, atau makna dalam sesuatu proses komunikasi. Kaedah ini juga lebih merupakan usaha untuk memberikan keterangan tentang sifat dan keadaan manusia dengan menggunakan pandangan umum tentang apa-apa sahaja tindakan sosial. Antara kaedah kajian kualitatif yang digunakan  dalam kajian ini ialah kaedah kajian kes dan interpretatif, dan kajian pemerhatian penyertaan.
            Kajian kes dan kajian interprestasi pula melibatkan pertanyaan intensif tentang peristiwa, pihak, atau unit sosial tertentu. Pendekatan ini cuba mencari tema atau cerita yang boleh membantu usaha menginterprestasikan atau memahami perihal yang hendak dirungkaikan. Sebagai contoh, penulis menemu ramah pengetua Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang, kakitangan pengurusan dan penduduk kampung di sekitarnya untuk mendapatkan data yang boleh membantu kajian.
            Melalui kajian penyertaan, penulis mengadaptasikan kisah silam ibu dan bapanya yang mengalami penindasan sebagai anak yatim tanpa belaian kasih sayang sejak kehilangan ibu dan bapa kesayangan. Penulis dapat mengetahui lebih pengalaman ibu dan ayahnya sendiri yang mengalami penderitaan tanpa belaian kasih seorang ibu dan ayah. Selain itu, penulis juga mempunyai saudara yang tinggal berhampiran dengan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.


9.0 RINGKASAN BAB
Secara keseluruhannya terdapat lima bab dalam penulisan latihan sejarah dan pengurusan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang, Selangor. Bab pertama di dalam penulisan ini berkisar pendahuluan mengenai latar belakang penulisan latihan ilmiah ini dengan beberapa subtajuk penting iaitu pengenalan, skop kajian, tujuan kajian, objektif kajian, hipotesis kajian, kaedah penulisan, ulasan kajian terdahulu dan ringkasan bab. Di dalam bab pendahuluan ini, penulis memperkenalkan secara ringkas mengenai makna anak yatim sebelum menyentuh mengenai sejarah dan pengurusan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
            Dalam bab kedua, latihan ilmiah ini akan menyentuh mengenai kisah kehidupan pengasas Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang iaitu Tuan Haji Suhaimi bin Dzajuli. Kisah keperibadian Tuan Haji Suhaimi akan diceritakan secara terperinci di dalam bab ini. Pada permulaan bab, penulis akan menceritakan latar belakang Tuan Haji Suhaimi secara teliti dan di pertengahan bab, penulis akan menulis tentang jasa Tuan Haji Suhaimi di Kuang dan di akhir bab penulis akan menulis tentang pengorbanan Tuan Haji Suhaimi dalam menubuhkan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang untuk menjamin masa hadapan anak-anak yatim dengan cemerlang dalam kehidupan dunia dan akhirat.
            Dalam bab ketiga, latihan ilmiah ini akan memuatkan sejarah dan latar belakang Asrama anak-anak yatim. Sejarah asrama ini akan dipecahkan dua subtajuk. Subtajuk yang dimuatkan ialah sebelum penubuhan dan selepas penubuhan. Di awal dalam bab ini, penulis akan menulis tentang sejarah Kuang dan juga lokasinya. Di akhir bab pula, penulis akan menyentuh tentang sumbangan dan kejayaan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang terhadap penduduk sekeliling dan negeri Selangor.
            Dalam bab keempat, latihan ilmiah ini menyentuh tentang pengurusan Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang sejak tahun 1989 sehingga 2010. Di dalam bab ini, penulis membahagikan beberapa subtajuk. Subtajuk tersebut seperti pentadbiran asrama, keewangan, pembangunan infrastruktur, dan pengurusan rekod. Pada permulaan bab, penulis akan menyatakan sistem pentadbiran asrama. Di pertengahan bab, penulis akan menerangkan keewangan dan pembangunan infrastruktur asrama. Di akhir bab pula, penulis akan menyatakan pengurusan rekod. 
            Dalam bab kelima iaitu bab terakhir dalam penulisan ilmiah ini berkaitan dengan kesimpulan hasil penulisan latihan ilmiah ini. Bab ini merupakan kesimpulan kajian yang di buat untuk dianalisis jawapannya kepada pemasalahan kajian yang ditimbulkan.









10.0 BIBLIOGRAFI
Cadangan Sumber Primer
Gambar Foto
Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Negeri Selangor.
Laporan Tahunan 1989. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1990. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1991. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1992. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1993. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1994. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1995. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1996. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1997. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1998. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 1999. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2000. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2001. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2002. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2003. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2004. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2005. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2006. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2007. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2008. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2009. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Laporan Tahunan 2010. Asrama Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

Artikel Jurnal dan Buku
B. Elizabeth. (terj.) Med. Meitasari Tjandrasa. (1989). Perkembangan anak. Jakarta: Erlangga. 
Habib Syarief Muhammad Alaydrus. (2009). Agar hidup selalu berkah: meraih ketenteraman hati dengan            hidup penuh berkah. Bandung: Minzania.
Imam Adz-Dzhabi. (2007). Dosa-dosa besar. Indonesia: Pustaka Arafah.
Muhammad Muslih Aziz. (2009). 1001 berkah anak yatim. Bogor: Hikmah Populer.
Mukhsin M.K. (2003). Mari mencintai anak yatim. Jakarta: Perpustakaan Nasional.
Sayyid Quthb. (2001). Tafsir Fi Zhilalil Qur’an jilid 2. Jakarta: Perpustakaan Nasional.


[1] Muhammad Muslih Aziz. (2009). 1001 berkah anak yatim. Bogor: Hikmah Populer. Hlm. 148.

[2] Mukhsin M.K. (2003). Mari mencintai anak yatim. Jakarta: Perpustakaan Nasional. Hlm. 9.

[3] Sayyid Quthb. (2001). Tafsir Fi Zhilalil Qur’an jilid 2. Jakarta: Perpustakaan Nasional. Hlm. 896.

[4] Imam Adz-Dzhabi. (2007). Dosa-dosa besar. Indonesia: Pustaka Arafah. Hlm. 105.

[5] Habib Syarief Muhammad Alaydrus. (2009). Agar hidup selalu berkah: meraih ketenteraman hati dengan hidup penuh berkah. Bandung: Minzania. Hlm. 83.

[6] B. Elizabeth. (terj.) Med. Meitasari Tjandrasa. (1989). Perkembangan anak. Jakarta: Erlangga. Hlm. 175